Dewasa kini, negara kita bukan saja di banjiri oleh kes pembuangan bayi yang tidak berdosa seperti sampah, tetapi dalam diam juga kes anak membuang ibu bapa sendiri dengan meninggalkan ibu bapa mereka dalam keadaan tidak terjaga atau terbiar hidup sengsara tanpa pembelaan anak-anak semakin menular dan membudaya dalam masyarakat hari ini samada disedari atau pun tidak. Malah, ada sehingga ke tahap yang sanggup mencederakan ibu bapa mereka atau sanggup membunuh ibu bapa mereka kerana tidak mendapat apa yang dikehendaki dari ibu bapa mereka seperti wang, geran tanah atau geran kenderaan. Seolah-olah anak-anak pada masa kini sudah hilang rasa hormat, taat setia atau dalam bahasa mudahnya berakhlak mulia dan berbelas ehsan terhadap ibu bapa mereka sendiri.
Walaupun aneh bunyinya, tetapi ianya benar-benar berlaku dalam masyarakat kita hari ini. Ibu bapa yang menjadi mangsa dek perbuatan anak sendiri ini bukan dari calang-calang orang, mereka kebanyakannya dari golongan tahfiz, bekas pegawai tentera, pegawai bank, dan pesara kerajaan. Ramai anak-anak masa kini terutamanya yang sibuk dengan kehidupan masing-masing sanggup menghantar ibu bapa mereka yang sudah tua ke rumah orang-orang tua. walaupun tidak membuang ke dalam tong sampah, di tepi-tepi jalan mahupun dalam longkang, tetapi dengan perbuatan menghantar ibu bapa sendiri ke rumah orang-orang tua dan mengabaikan tanggungjawab sebagai seorang anak adalah suatu perbuatan yang sangat tidak mengenang budi dan dipandang hina oleh semua agama, sedangkan mereka mampu untuk melaksanakan tanggungjawab mereka sebagai seorang anak.
Baru-baru ini kita digemparkan dengan kisah anak-anak derhaka yang sanggup membuang bapa mereka yang telah dimamah usia sehingga terpaksa merempat meminta belas ihsan orang lain. Mengapa perkara sebegini boleh berlaku dalam masyarakat kini yang lebih luas pengetahuan agamanya berbanding masyarakat zaman Jahiliah dahulu yang jahil tentang agama? Apakah yang menyumbang kepada tercetusnya masalah ini? Salah satu faktor terjebaknya mereka dalam perbuatan ini adalah kerana tuntutan hidup masing-masing yang sibuk dengan kerjaya untuk menyara kos hidup yang tinggi dan sibuk mengumpul kekayaan dunia supaya boleh hidup senang. Kelekaan anak-anak dalam mengejar harta dunia telah melalaikan mereka dan lupa tentang tanggungjawab mereka terhadap ibu bapa asing-masing. Ibu bapa ditinggalkan bersendirian di rumah usang tanpa pulang untuk menjenguk keadaan ibu bapa mereka. Bayangkan, betapa sunyinya ibu bapa kita bersendirian di rumah tanpa dijenguk oleh anak-anaknya walaupun seorang. Sedangkan, hampir setiap hari mereka tidak putus-putus menunggu kepulangan anak-anaknya yang ditatang sejak kecil bagai minyak yang penuh.
Selain itu, ibu bapa yang telah tua, terutamanya mereka yang telah uzur atau berpenyakit kronik yang memerlukan sepenuh perhatian dan penjagaan rapi serta perlu mendapatkan rawatan berterusan menjadi penyebab mengapa anak-anak mereka tidak mahu menjaga kedua orang tua mereka itu. Tambahan pula, anak-anak zaman moden sekarang mempunyai kerjaya masing-masing, tidak kira samada lelaki mahupun perempuan. Mereka tidak mempunyai ruang untuk memberikan perhatian kepada ibu bapa mereka dan ada di kalangan mereka ini menganggap ibu bapa sebagai beban kepada mereka, apatah lagi apabila ibu bapa ini kerap meminta bantuan anak-anak untuk bergerak atau menguruskan diri. Ibu bapa menjadi penagih simpati daripada anak-anak sendiri sedangkan tulang empat kerat itu lah yang telah membanting tulang siang malam untuk membesarkan dan memberikan kesenangan kepada anak-anaknya.
Bagi anak-anak yang telah mempunyai keluarga sendiri pula akan merumitkan lagi keadaan lantas menjadi salah satu faktor mereka membuang ibu bapa mereka itu. Sudah semestinya mereka akan sibuk menguruskan segala hal rumah tangga masing-masing. Lantaran, tanggungjawab terhadap ibu bapa terabai dan tidak pernah mengambil tahu langsung tentang kebajikan orang tua mereka yang telah uzur itu. Terdapat juga segelintir anak-anak yang telah berkeluarga ini membawa ibu bapa mereka untuk tinggal bersama-sama bagi memudahkan mereka melaksanakan tanggungjawab mereka sebagai seorang yang bergelar anak. Tetapi, malangnya menantu pula tidak suka akan mertuanya yang terpaksa dijaganya bersama dan memberikan perhatian, sedangkan itu bukanlah ibu atau bapa kandung mereka. Mereka mersakan ini merupakan beban besar yang perlu di tanggung dan akan menyusahkan hidup mereka sekeluarga. Lantas, disebabkan sikap buruk itu, maka, terbuanglah ibu bapa ini di rumah orang tua-tua mahupun di tepi-tepi jalan untuk menghabiskan sisa usia yang ada, alangkah sedihnya hati mereka apabila diperlakukan sedmikian rupa.
Baru-baru ini kita digemparkan dengan kisah anak-anak derhaka yang sanggup membuang bapa mereka yang telah dimamah usia sehingga terpaksa merempat meminta belas ihsan orang lain. Dalam kes pertama, seorang bapa yang baru sahaja selesai menjalani pembedahan jantung ditinggalkan di sebuah perhentian bas kerana dikatakan kehadirannya tidak disukai oleh isteri anaknya, lalu kewujudan beliau di rumah boleh menjejaskan keharmonian rumah tangga mereka. Dalam kes kedua pula, seorang bapa yang menghidap penyakit buah pinggang yang kronik dianggap sebagai beban bagi anak-anak kerana perlu menghantar bapa mereka ke pusat hemodialisis, lalu ditinggalkan bapanya yang sedang sakit itu di pusat tersebut. Maka, tercampaklah kedua-dua bapa yang suatu ketika dulu telah bertungkus-lumus membanting tulang untuk membesarkan anak-anak mereka di rumah orang-orang tua Jabatan Kebajikan Masyarakat.
Apa yang lebih mendukacitakan sifat tidak berperikemanusiaan ini timbul dari kalangan mereka yang mengaku sebagai orang Islam, sedangkan Islam telah mencela dengan keras perbuatan seumpama ini. Nabi Muhammad S.A.W. pernah bertanya kepada para sahabat sebanyak tiga kali " Mahukah aku memberitahu kalian tentang dosa yang paling besar?" Maka, mereka (para sahabat ) pun menjawab "Sudah tentu wahai Rasulullah." Baginda menjelaskan "Syirik kepada Allah, derhaka kepada ibu bapa dan sumpah yang palsu." Hadis riwayat Imam al-Bukhari di dalam sahihnya, no : 2654. Lihatlah, bagaimana dosa menderhaka kepada ibu bapa ini diletakkan di dalam satu kategori bersama dosa mensyirikkan Allah S.W.T. iaitu dosa yang paling keji di atas muka bumi ini. Justeru itu, Islam telah mengajar penganutnya agar sentiasa berusaha untuk menggembirakan ibu bapa lebih-lebih lagi yang telah lanjut usianya dengan apa jua cara sekalipun selagimana ianya tidak bercanggah dengan syarak.
Sikap biadap kepada ibu bapa yang sudah tua ini turut bertentangan dengan budaya orang Melayu yang trekenal dengan tatasusila yang tinggi serta lemah lembut. Entah mana silapnya sifat jelik menghina dan membuang ibi bapa sehingga merempat di tepi jalan ini boleh wujud di tengah-tengah masyarakat Melayu yang beragama Islam. Penduduk sekeliling perlu menghukum mereka yang menzalimi orang tua mereka dengan memboikot mereka dalam urusan harian agar mereka tahu perbuatan mereka itu tidak diterima oleh masyarakat. Jangan kita berlembut dengan si penderhaka yang tidak tahu mengenang jasa orang tuanya itu.
Baru-baru ini, Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) telah bercadang dan masih dalam kajian untuk mewujudkan satu akta yang membolehkan tindakan diambil terhadap anak-anak yang mengabaikan tanggungjawab menjaga ibu bapa mereka. Memandangkan kes anak-anak membuang ibu bapa ini semakin meruncing dalam masyarakat kini, walaupun tidak terlalu kritikal, perkara ini harus dibendung lebih awal dengan melaksanakan akta ini sebagai langkah utama supaya masalah ini tidak membudaya dalam masyarakat kini dan seterusnya.
Menjaga ibu bapa yang sudah tua memang bukan satu urusan yang mudah. Kebiasaannya tubuh yang telah dimamah usia itu menyebabkan pergerakan mereka terbatas bahkan adakalanya memerlukan bantuan daripada anak-anak untuk bergerak. Jiwa mereka juga semakin sensitif, kuat terasa hati bahkan agak cerewet dalam pelbagai perkara. Ada juga yang telah lemah daya ingatannya menyebabkan perbualan dengan mereka adakalanya boleh menyebabkan seseorang anak itu hilang sabar. Namun, kesukaran dalam menjaga ibu bapa ini tidak datang dengan sia-sia. Bagi mereka yang sabar dengan kerenah ibu bapa mereka dan tetap menjaga mereka dengan baik dalam apa jua keadaan sekalipun maka mereka sebenar telah menempah tiket untuk ke syurga.
Secara realitinya, setiap manusia sememangnya tidak boleh lari dari melakukan kesilapan. Namun, hendaklah seseorang itu menebus segala kesilapannya itu dengan tidak meneruskan perbuatan tersebut serta segera bertaubat. Sabda Rasulullah S.A.W. "Setiap anak Adam itu sering membuat kesilapan dan sebaik-baik orang yang selalu membuat kesilapan adalah orang yang suka bertaubat". Hadis riwayat al-Tirmidzi di dalam sunannya, no:2423. Sehubungan dengan itu, bagi mereka yang telah menderhaka kepada kedua orang tua mereka, hendaklah kembali ke pangkal jalan. Bertaubatlah segera kerana Allah sentiasa menerima taubat-taubat hamba-Nya walau sebesar mana dosa mereka sekalipun selagi tidak melakukan perbuatan syirik. Segeralah memohon keampunan kepada ibu bapa yang telah dizalimi itu dan jangan ulangi kesilapan yang lalu. Kembalikan mereka ke pangkuan keluarga, jagalah dengan baik dan jangan biar mereka terus bersedih di rumah orang-orang tua seolah-olah mereka ini tiada zuriat yang bertanggungjawab atas hal ehwal mereka.
Disediakan oleh : Noor Shafinah Binti Zainol Abidin (206110)
No comments:
Post a Comment