Saturday, August 14, 2010

VANDALISME



Vandalisme ialah satu tingkah laku menconteng atau merosakkan harta benda awam atau persendirian. Kebejatan ini sememangnya tidak asing lagi daripada pengetahuan umum kerana sering kali dilihat di papan-papan tanda, perhentian bas dan sebagainya. Pelbagai faktor yang menyebabakan fenomena ini berlaku seperti, pengaruh rakan sebaya negatif, kepincangan institusi kekeluargaan, dan sebagainya. Hal ini juga memberi kesan kepada imej negara. Oleh itu, langkah-langkah yang prakmatik seperti penguatkuasaan undang-undang serta ibubapa dan keluarga mestilah memainkan peranan masing-masing haruslah diambil.

Salah satu faktor yang mendorong kepada berlakunya permasalahan ini ialah pengaruh daripada rakan sebaya negatif. Remaja yang mengalami masalah keluarga khususnya, pasti akan lebih rapat dan meluangkan lebih banyak masa bersama rakan-rakan di luar. Apabila mereka berkumpul di sesuatu tempat, mereka pasti akan memikirkan sesuatu aktiviti yang menyeronokkan. Bagi kumpulan remaja yang tidak bermoral, akan timbul idea untuk menconteng dan merosakkan harta benda di sekeliling mereka. Perbuatan ini akan mempengaruhi rakan-rakan yang lain. Hal ini kerana, pengaruh tersebut akan mencorakkan sesuatu nilai dalam diri individu.

Faktor yang seterusnya ialah, kurangnya perhatian daripada institusi kekeluargaan. Ibubapa khususnya kurang memainkan peranan dalam mendidik anak-anak. Mereka tidak menerapkan nilai-nilai murni ke dalam diri anak-anak sejak mereka masih kecil. Bak kata pepatah “Meluntur Buluh Biarlah Dari Rebungnya”. Di samping itu, ibubapa tidak mewujudkan suasana rumah yang harmoni yang menyebabkan anak-anak berasa bosan untuk duduk di rumah. Selain itu, ibubapa juga tidak menunjukkan contoh yang baik kepada anak-anak. Ibubapa juga sering menyalahi peraturan-peraturan di tempat awam seperti, membuang sampah merata-rata, dan sebagainya. Maka, tidak hairanlah anak-anak akan mengikut perlakuan ibubapa mereka.

Fenomena vandalisme ini turut memberikan implikasi. Antara implikasi yang utama adalah, pemandangan di sekitar kawasan yang telah dicemari dengan kebejatan ini akan terjejas dan memburukkan imej negara. Kawasan-kawasan dinding atau kemudahan awam yang diconteng akan mencacatkan pemandangan terutama di kawasan bandar yang sebelumnya telah diselenggara supaya menjadi indah. Tambahan pula, kawasan bandar merupakan tumpuan pelancong asing saban tahun. Sudah pasti pelancong asing akan melihat keburukan yang dipaparkan oleh rakyat negara ini. Mereka pasti membuat tanggapan negatif terhadap negara dan masyarakat amnya. Sedangkan negara kita terkenal dengan keramahan dan kesantunan. Akibat dek perbuatan tidak bermoral ini, pelancong membuat tanggapan negatif.

Masalah ini boleh dibendung sekiranya ibubapa dan keluarga memainkan peranan masing-masing. Ibubapa harus memberi penekanan agama, kasih sayang, dorongan dan perhatian. Hal ini penting untuk memberikan ketenteraman dan kebahagiaan ke dalam jiwa anak-anak. Anak-anak akan merasa bahagia berada di samping keluarga yang harmoni. Anak-anak akan berasa lebih selesa untuk berada di rumah berbanding keluar bersama-sama kawan-kawan mereka. Melalui cara ini, anak-anak lebih mudah dikawal. Sehubungan dengan itu, anak-anak akan terhindar daripada perbuatan-perbuatan yang tidak bermoral dan tidak memberi faedah kepada mereka.

Selain itu, pihak-pihak berwajib sama ada organisasi kerajaan atau pun organisasi bukan kerajaan (NGO) haruslah menggembeling tenaga untuk membendung permasalahan ini. Organisasi kerajaan perlu menguatkuasa dan memperketatkan undang-undang. Undang-undang yang lebih tegas harus digubal atau menggunakan pakai undang-undang sedia ada dengan lebih cekap. NGO pula, boleh mengadakan kempen kesedaran bersama organisasi kerajaan untuk menyedarkan masyarakat tentang permasalahan ini. Hal ini penting kerana, masyarakat akan lebih mengetahui peranan dan tugas masing-masing yang sepatutnya mereka lakukan untuk membendung permasalahan ini dari terus berlanjutan.

Tuntasnya, permasalahan vandalisme ini sememangnya tidak asing lagi. Pelbagai faktor yang menyebabkan masalah ini terjadi. Akibat permasalahan ini, pelbagai kesan yang timbul dan menyukarkan masyarakat lain. Oleh itu, masyarakat dan semua organisasi kerajaan mahupun NGO haruslah bekerjasama untuk membendung permasalahan ini.

Disediakan oleh: Nurhidayu Binti Zainuddin/ 205999

No comments:

Post a Comment