Monday, August 2, 2010

JENAYAH RAGUT



Kini, masyarakat kita telah dikejutkan dengan pelbagai kes jenayah terutamanya jenayah ragut. Pada 6 Mei 2009, polis Kuala Lumpur telah mendedahkan bahawa jenayah ragut di Ibu Kota telah meningkat 99 peratus. Mangsa kes ragut kebanyakannya terdiri daripada wanita. Lebih menyedihkan lagi, kesemua mangsa ragut terbabit menemui ajal gara-gara peragut yang tidak berperikemanusiaan. Sebagai contoh, seorang ibu yang hamil dua bulan telah diragut ketika menunggang motorsikal sehingga menyebabkannya terjatuh dan koma sebelum disahkan meninggal dunia dua hari kemudian. Oleh itu, sebagai masyarakat yang perihatin kita mestilah mengetahui punca-punca berlakunya jenayah ragut serta langkah-langkah bagi membendung masalah ini terus berleluasa.

PUNCA-PUNCA

Pelbagai punca berlakunya kes-kes jenayah dalam kalangan remaja. Salah satunya ialah didikan yang kurang sempurna daripada ibu bapa dan keluarga. Ibu bapa ialah orang yang paling hampir dan yamg paling penting dalam pembentukan peribadi dan sahsiah dalam kalangan anak-anak. Pada zaman teknologi maklumat dan globalisasi ini, mereka sentiasa sibuk bekerja dalam mengisi tuntutan kebendaan sehingga mereka lupa akan tanggungjawab hakiki mereka iaitu mendidik dan mengajar anak-anak menjadi insan yang sempurna. Hal ini merupakan punca utama yang menyebabkan keruntuhan akhlak dalam kalangan remaja. Ibu bapa seharusnya mengetahui dengan siapa anak-anak mereka bergaul supaya anak-anak mereka terhindar daripada pengaruh rakan sebaya yang tidak bermoral. Sebagai contoh, jika anak-anak tersalah memilih rakan sudah pasti mereka juga akan berkelakuan tidak bermoral seperti menghisap rokok, penyalahgunaan dadah, melepak dan sebagainya. Hal ini akan mendorong mereka untuk mendapatkan wang dengan cara yang mudah iaitu meragut.


Selain itu, punca berlakunya jenayah ragut juga disebabkan mangsa sering berjalan seorang diri di tempat yang sunyi. Hal ini akan menyebabkan peragut mempunyai ruang dan peluang untuk meragut. Lazimnya, peragut tidak merancang secara terperinci ketika melakukan jenayah ragut. Sebaliknya, keadaan mangsa, suasana sekeliling dan sikap peragut itu sendiri yang mendorong berlakunya jenayah ragut. Faktor seperti keadaan persekitaran yang sunyi, mangsa berjalan sendirian dan ruang yang luas untuk melarikan diri, mengundang peluang peragut bertindak pantas untuk meragut beg tangan atau barang kemas mangsa. Hal ini menyebabkan orang ramai tidak dapat mendengar jeritan pertolongan daripada mangsa kerana mangsa berada di kawasan yang sunyi seorang diri.





LANGKAH-LANGKAH 

Terdapat pelbagai langkah untuk membendung gejala ragut antaranya tidak berjalan seorang diri di tempat yang sunyi. Mangsa ragut terutamanya wanita hendaklah sentiasa berhati-hati apabila berjalan seorang diri. Sebaik-baiknya mereka mestilah mempunyai teman bersama-sama apabila pergi ke tempat yang tidak mempunyai ramai orang. Pastikan beg tangan dalam keadaan yang selamat sekiranya ingin menunggang motorsikal supaya keadaan tersebut tidak memberi peluang dan ruang kepada peragut untuk meragut. Oleh itu, keselamatan kita akan lebih terjamin daripada menjadi mangsa ragut. Selain itu, kaum wanita juga boleh mengelakkan diri daripada menjadi mangsa ragut dengan tidak membawa beg tangan. Mereka boleh memasukkan beg dompet mereka ke dalam poket seluar. Hal ini lebih menjaminkan keselamatan mereka daripada diragut.


Di samping itu, kuat kuasa undang-undang mestilah diperketatkan. Sesiapa yang melakukan jenayah ragut mestilah dikenakan hukuman berat. Sebagai contoh, melaksanakan hukuman hudud. Hukuman hudud ialah hukuman yang telah ditentukan dan ditetapkan oleh Allah di dalam Al-Quran dan hadis. Kekerasan hukuman ini juga hakikatnya mempunyai rahmat kepada orang yang hendak melakukan jenayah kerana akan menimbulkan ketakutan kepada orang lain untuk melakukannya. Hukuman hudud tidak bertujuan untuk membalas dendam kepada penjenayah tetapi sebaliknya menyelamatkan bakal-bakal penjenayah dan memelihara orang ramai. Hal ini akan memberi pengajaran kepada mereka yang melakukan jenayah ragut.


Kesimpulannya, golongan remaja haruslah didedahkan dengan isu-isu semasa, kempen-kempen, khemah kerja, motivasi dan sebagainya bagi menyedarkan mereka bahawa merekalah generasi pemangkin Negara. Sekali gus, perkara sedemikian dapat memberi pengajaran kepada mereka. Golongan tersebut juga perlu mengetahui bahawa segala kes jenayah akan merosakkan masa hadapan mereka. Selain itu, kaum wanita khususnya mestilah sentiasa berhati-hati apabila berjalan seorang diri. Elakkan diri daripada menjadi mangsa ragut.

Disediakan oleh : FAIRUZ BT SHAIR

No comments:

Post a Comment