Thursday, August 12, 2010

PEMBUANGAN BAYI




PENDAHULUAN:

Malaysia dengan bangganya telah mencapai kemerdekaan lebih lima puluh tahun dan menuju alaf baru yang berorientasikan sains dan teknologi.Namun begitu, masyarakat hari ini mula lalai dengan kemajuan tersebut.Saban hari pelbagai berita berkaitan dengan pembuangan bayi dilaporkan dan bayi tersebut dijumpai di merata-rata tempat.Tatkala ingin menyembunyikan perbuatan terkutuk itu mereka sanggup membuang bayi yang tidak berdosa dengan harapan akan diberi peluang menjalani kehidupan baru.Di samping itu, sikap masyarakat yang tidak prihatin hanya berpeluk tubuh dan mengabaikan isu ini turut menjadi punca gejala ini berleluasa.Masyarakat hanya menunding jari terhadap golongan remaja dan mereka ini dianggap sebagai sampah masyarakat.Kita sepatutnya memberi teguran membina kepada mereka supaya mereka sedar akan perbuatan mereka. Oleh itu, ibu bapa haruslah memainkan peranan yang sangat penting dalam menangani gejala ini kerana ibu bapa adalah tunggak utama dalam mencorak sahsiah anak-anak mereka.Gejala ini pasti dapat ditangkis sekiranya wujud kesedaran dan rasa tanggungjawab masyarakat dengan mengambil tahu dan cuba membanterasnya serta melahirkan sifat penyayang.

FAKTOR-FAKTOR:

Faktor utama gejala ini berlaku adalah kurangnya didikan agama dalam diri remaja.Sejak akhir-akhir ini,kesedaran agama dalam diri remaja tidak begitu menonjol kerana masing-masing menjauhkan diri daripada mendalami ilmu agama.Apabila kurangnya didikan agama dengan sendirinya remaja akan mudah terpengaruh untuk melakukan gejala tidak sihat.Perkembangan yang pesat dalam sains dan teknologi juga banyak mendedahkan remaja dengan pelbagai paparan yang negatif melalui media cetak mahupun media elektronik.


Faktor kedua adalah keruntuhan institusi keluarga dalam sesebuah masyarakat.Masyarakat hari ini sibuk dengan pembangunan dan mengejar kebendaan sehingga mereka lupa akan tanggungjawab sebenar mereka dalam membina sebuah keluarga yang bahagia.Remaja yang kekurangan kasih sayang akan cuba mencari orang lain atau rakan-rakan sebagai tempat untuk mereka mengadu masalah dan akhirnya mereka terjebak dengan gejala sosial akibat pengaruh daripada rakan-rakan.


Faktor lain yang menyebabkan berlakunya masalah pembuangan bayi adalah faktor masyarakat.Sesetengah masyarakat memandang hina orang yang melakukan dosa seperti berzina,buang bayi dan sebagainya.Mereka yang terjerumus dalam gejala ini menganggap diri mereka tidak diterima ahli masyarakat lagi.Oleh itu, wujudnya kes pembuangan bayi dalam kalangan orang Islam sendiri.



CIRI-CIRI REMAJA YANG TERLIBAT DALAM GEJALA INI:

Berdasarkan pemerhatian dan penelitian dalam beberapa rujukan mendapati terdapat ciri-ciri tertentu bagi remaja yang terlibat dalam masalah pembuangan bayi,antaranya kecelaruan identiti remaja.Terdapat banyak faktor yang dikesan menyebabkan wujudnya kecelaruan identiti dan salah satunya adalah keluarga tidak memainkan peranan yang sewajarnya dalam pembentukan watak anak-anak mereka.Menurut Prof.Dr.Suradi Salim dari UM,golongan ini boleh dibahagikan kepada tiga kumpulan iaitu pertama mereka yang tiada langsung asas, pendidikan, dan perasaan terhadap agama.Kedua golongan yang mempunyai pendidikan agama, tahu hukum-hakam agama tetapi mereka memilih jalan yang menyeleweng.Kumpulan yang seterusnya ialah mereka yang tahu agama tetapi masih memilih jalan yang tersasar.Mereka ini mempunyai asas agama tetapi kurang meresap dalam diri.Oleh itu, mereka memilih untuk melakukan perkara yang menyeronokkan tanpa mengira larangan agama.


KESAN-KESAN:

Pembuangan bayi dalam kalangan remaja pada hari ini akan memberi kesan yang begitu besar dalam masyarakat.Remaja merupakan aset utama negara pada masa akan datang dan memainkan peranan yang sangat penting dalam pembangunan negara.Kesan jangka panjang dan jangka pendek pasti akan berlaku seandainya remaja pada hari ini tidak tahu bagaimana untuk membentuk dan memuliakan akhlak mereka. Kesan-kesan pembuangan bayi boleh diklasifikasikan kepada beberapa bahagian seperti kesan kepada bayi, ibu yang melahirkan, keluarga remaja yang terlibat, masyarakat dan juga negara.


Bayi adalah anugerah Tuhan yang paling berharga kepada pasangan suami isteri tetapi bukan kepada pasangan-pasangan kekasih yang telah terlanjur kerana mereka tidak bersedia untuk memikul tanggungjawab di usia muda.Oleh itu, mereka menjadikan bayi mangsa dan bayi tersebut hidup tanpa mengenal ibu bapa kandung.Mereka juga terpaksa memikul gelaran anak luar nikah walaupun mereka tidak berdosa.Namun, apa yang lebih menyedihkan lagi adalah bayi-bayi itu mati akibat perbuatan manusia yang tidak mempunyai hati nurani kerana membuang bayi-bayi itu di tempat yang tidak sepatutnya seperti dalam tong sampah,tandas,rumah kosong,longkang dan sebagainya.


Kesan yang kedua adalah kesan kepada ibu bayi berkenaan.Kesan dari sudut perubatan adalah ibu tersebut akan mengalami jangkitan kuman,kecederaan sewaktu bersalin dan kehilangan banyak darah kerana tidak dalam jagaan yang sempurna.Mejoritinya mereka melahirkan sendiri tanpa pertolongan pihak hospital mahupun orang lain.Selain itu, kesan dari segi psikologi dan sosial adalah mereka akan mengalami kemurungan, hilang keyakinan diri,rasa bersalah,resah dan masalah emosi.Hal ini adalah akibat daripada perbuatan mereka sendiri yang sememangnya salah dari segi undang-undang agama dan negara.


Kesan seterusnya adalah berlakunya keruntuhan institusi kekeluargaan.Wujudnya ketidakharmonian dalam kekeluargaan dan hal ini disebabkan ibu bapa berasa malu dengan perbuatan anak mereka.Mungkin juga akan wujud penceraian kerana ibu bapa menyalahkan antara satu sama lain kerana tidak mendidik anak sehingga mencoteng arang di muka mereka.Oleh itu ,masa depan anak-anak akan terbiar dan tidak terpelihara.


Tidak dapat dinafikan juga pembuangan bayi akan memberi kesan yang sangat besar kepada negara.Jatuh dan bangun sesebuah negara dan masyarakat itu bergantung kepada akhlak generasi pada hari ini.Kesan yang akan berlaku adalah pembangunan negara akan terbantut dan keadaan ekonomi negara juga sukar berkembang kerana wujud gejala sosial.Perbelanjaan negara juga akan meningkat bagi menampung perbelanjaan bayi yang akan diletakkan di rumah kebajikan masyarakat.


KESIMPULAN:

Kesimpulannya,semua pihak haruslah memainkan peranan masing-masing dalam menangani gejala ini dan tidak hanya berdiam diri serta menyalahkan mana-mana pihak.Hal ini demikian kerana gejala ini berlaku bukanlah dengan keiginan kita tetapi mungkin ada sebab musababnya dan dengan berleluasanya gejala ini kita sebagai masyarakat yang prihatin seharusnya sama-sama mencari jalan penyelesaian yang terbaik dalam menangani masalah ini.Namun begitu,remaja hari ini seharusnya sedar akan kesilapan meraka dan berfikirlah dengan waras sebelum melakukan sesuatu tindakan agar mereka tidak menyesal di kemudian hari.Ibu bapa juga harus tegas dengan anak-anak dalam memberi didikan supaya anak-anak mereka menjadi insan yang berguna.

DISEDIAKAN OLEH: NOR SINAR SURIA BT OMAR /205892

2 comments:

  1. terima kasih banyak2 pd blogger nih sbb teks ini amat membantu dan isi2nya sgt2 lengkap dan saye amat berpuas hati.. terima kasih banyak2.. teruskan dengan karya2 yg lengkap mcm nih... syabas!!! :-)

    ReplyDelete
  2. klu kesan untuk agama plak cm mne???

    ReplyDelete