Tuesday, August 31, 2010

GEJALA MAT REMPIT





PENGENALAN
Gejala ‘mat rempit’ bukanlah merupakan satu gejala yang baru. Malah, gejala sebegini telah lama wujud dan kedengaran hangat diperkatakan di dalam media elektronik mahupun media cetak. Gejala ini sudah semakin merebak dan telah menjadi lumrah dengan penglibatan masyarakat tanpa mengira batas umur dan bangsa. Gejala merempit yang semakin menular dan menjadi-jadi dalam kalangan remaja serta sikap remaja yang semakin mengganas telah membuatkan panggilan ‘mat rempit’ tidak lagi digunakan. Sebaliknya, kini panggilan tersebut telah ditukarkan kepada panggilan ‘samseng jalanan’. Trend menunjukkan aksi menunggang motosikal di jalan raya dengan pelbagai bentuk gaya oleh remaja dan belia khususnya sehingga mendatangkan kecelakaan perlu dikawal dan dihapuskan segera secara menyeluruh kerana ia akan menjadi gejala sosial yang sukar dirawat. Aksi samseng jalanan yang berbahaya akan menyebabkan nyawa pengguna jalanraya lain berada dalam keadaan yang membimbangkan.

Antara aksi-aksi berbahaya yang biasanya dilakukan oleh golongan mat rempit ini ialah:
• Wheelie – menunggang laju sambil mengangkat tayar di bahagian depan.
• Wikang – menunggang sambil mengangkat tayar di bahagian belakang.
• Scorpion – menunggang motosikal sambil kaki menghala di bahagian atas.
• Superman – menunggang laju sambil terbaring seperti aksi superhero, Superman sedang terbang.
• Pereng/corner – bahagian meletak kaki bergesel di jalan raya ketika menunggang di selekoh.


PUNCA
1. Pengaruh rakan sebaya.
Pengaruh rakan sebaya banyak memainkan peranan dalam menentukan pemilihan aktiviti yang gemar dilakukan oleh kelompok remaja ini. Remaja akan mengikuti apa-apa yang dilakukan oleh rakan-rakan mereka. Bagi mereka, rakan-rakan adalah segala-segalanya. Ketiadaan rakan-rakan menyebabkan remaja berasakan diri mereka tersisih. Oleh itu, remaja sanggup mengikuti rakan-rakan yang tidak bermoral dan tidak sekepala dengan mereka asalkan mereka tidak dipulaukan.

2. Mengejar keseronokan.
Remaja merempit untuk mencari keseronokan bagi mendapatkan kepuasan, kemasyhuran, wang dan juga perempuan. Kepuasan dan keseronokan yang mereka kecapi adalah untuk melepaskan diri sementara dari tekanan hidup. Malah, mereka menganggap mereka akan menjadi perhatian umum apabila mereka menunjukkan aksi-aksi yang berbahaya di jalan raya. Mereka berasa bangga dan puas apabila mempamerkan aksi-aksi yang berbahaya di khalayak ramai.

3. Kurang didikan agama.
Ibu bapa memainkan peranan penting dalam mencorakkan anak-anak bagi menjadi seorang manusia yang berguna dan berakhlak mulia. Apabila kurangnya didikan agama, maka anak-anak mudah terjebak dengan perkara-perkara yang tidak bermoral. Hal ini kerana, pegangan agama yang kurang menyebabkan mereka tidak dapat menilai adakah sesuatu perkara yang mereka lakukan salah disisi agama ataupun tidak.

4. Desakan naluri.
Oleh sebab desakan naluri, remaja suka mencuba dan tidak takut pada risiko yang bakal ditempuh. Mereka berani melakukan apa-apa sahaja yang dirasakan seronok dan menghiburkan perasaan walaupun perkara tersebut berbahaya. Remaja mudah berasa seronok dan ingin mencuba apa-apa yang dipaparkan oleh media. Bagi memuaskan nafsu, remaja berani mempertaruhkan nyawa untuk melakukan sesuatu perkara yang mereka sukai dan mencabar.

5. Cara hidup.
Melalui cara hidup remaja itu sendiri juga mendorong gejala ini berlaku. Kebanyakan remaja berpendidikan rendah lebih cenderung melibatkan diri dalam kancah lumba haram ini. Pergaulan mereka hanya terdedah kepada kelompok yang sama dan memiliki tahap pemikiran yang sama apatah lagi sekiranya masing-masing sentiasa memberikan galakan dan semangat berbaur negatif antara satu sama lain. Mereka bangga dan seronok dengan pujian serta cuba menarik perhatian orang lain.

6. Kurang kasih sayang ibu bapa.
Ibu bapa yang sering sibuk dengan kerjaya masing-masing menyebabkan anak-anak kurang kasih sayang daripada ibu bapa mereka. Remaja akan berasa bahawa diri mereka tidak disayangi. Oleh yang demikian, remaja mengambil jalan mudah dengan mencari hiburan di luar rumah bersama-sama rakan sebaya yang lain seterusnya melakukan perkara-perkara yang tidak bermoral seperti merempit.
KESAN
1. Dari segi sosial.
Pembangunan sosial semakin terencat kerana kegiatan rempit ini mengancam ketenteraman dan ketenangan suasana malam. Banyak rungutan yang dapat kita dengar dari penghuni-penghuni rumah taman tentang bunyi enjin motosikal yang kuat dan mengganggu mereka beristirehat. Malah, golongan ini juga sering dikaitkan dengan penyalahgunaan dadah ataupun digelar juga sebagai ‘mat gian’. Kesan daripada kedua-dua gejala ini membawa kepada kes-kes lain seperti mencuri, pecah rumah, ragut dan lain-lain. Namun, apa yang paling membimbangkan adalah konsep pertaruhan anak-anak gadis sebagai hadiah dalam perlawanan haram tersebut. Anak-anak gadis ini sanggup menggadaikan maruah untuk menjadi pembonceng kepada teman lelaki mereka yang merupakan ahli kumpulan mat rempit. Situasi ini juga akan membawa kepada masalah lain seperti pembuangan bayi, anak luar nikah dan pelbagai penyakit membunuh seperti AIDS.

2. Dari segi ekonomi.
Mat rempit sering mensia-siakan waktu muda mereka yang sepatutnya digunakan untuk membangunkan potensi diri masing-masing. Tetapi peluang kemakmuran dan kemajuan negara dimanfaatkan oleh rakyat asing lantaran kerana anak negeri sendiri tidak berminat untuk berusaha bersungguh-sungguh bagi membangunkan negara. Apa yang membimbangkan adalah sekiranya perkembangan yang tidak sihat ini semakin menjadi-jadi dan tidak terkawal, keadaan akan menjadi semakin sukar. Hal ini kerana, rata-rata mat rempit adalah mereka yang masih dalam usia remaja. Bahkan sebahagiannya masih di bangku sekolah. Mereka masih bergantung kepada kewangan ibu bapa masing-masing. Untuk menyertai lumba haram ini mereka memerlukan wang yang banyak khususnya untuk pengubahsuaian dan membeli alat ganti motosikal, kos petrol serta wang pertaruhan. Bagi sesetangah remaja yang terlibat dengan dadah memerlukan wang yang lebih lagi. Oleh sebab itu, apabila mereka terdesak untuk mendapatkan duit, mereka mula memeras ugut, meragut dan mencuri yang pastinya akan merugikan ekonomi negara kita.

3. Dari segi politik.
Generasi masa muda sekarang merupakan tunggak pucuk pimpinan pada masa hadapan. Namun, apabila berlakunya gejala seperti ini secara berleluasa masih adakah golongan yang masih mampu memimpin negara kita yang tercinta ini pada masa hadapan? Hal ini menjadi persoalan masyarakat kita sekarang. Kita perlukan anak pemuda yang berani. Akan tetapi, keberanian itu perlu diletakkan pada tempatnya. Kita tidak mahu mereka yang berani mempertaruhkan nyawa di atas jalan raya yang akhirnya memberikan kerugian kepada bangsa, agama dan negara. Lantas bilangan masyarakat yang berkarisma dan berkepimpinan semakin berkurangan. Tenaga kerja dan sumber manusia juga semakin sedikit. Keadaan ini akhirnya menyebabkan mereka menjadi kaum yang terpinggir dalam urusan kemodenan dan kemajuan di tanah air sendiri.

LANGKAH
1. Perhatian yang secukupnya.
Remaja perlu diberikan perhatian yang secukupnya oleh ibu bapa supaya mereka berasa diri mereka dihargai. Malah ibu bapa juga perlulah meluangkan masa yang banyak kepada anak-anak dengan berbual dengan mereka, mendengar luahan serta rintihan hati mereka.

2. Penguatkuasaan undang-undang.
Penguatkuasaan undang-undang memang perlu dalam usaha menangani gejala ini daripada terus berlarutan. Jangan sekali-kali membiarkan mereka berasa lali dan tidak kisah dengan hukuman yang bakal dikenakan kepada mereka. Malah, hukuman kepada pesalah perlulah ditambah bagi membuatkan mereka yang terlibat takut untuk melakukan perkara yang menyalahi undang-undang.

3. Motivasi dan kaunseling.
Perkara ini adalah diperlukan untuk membantu membendung masalah sosial ini. Kita tidak seharusnya member tekanan kepada mereka kerana zaman remaja sememangnya penuh dengan tekanan dan gelora. Mereka sentiasa inginkan perhatian di samping pengiktirafan golongan dewasa. Masyarakat perlu berinteraksi secara matang dengan golongan remaja sebegini agar mereka tidak berasakan diri mereka diperlakukan seperti budak kecil.
Disediakan oleh : SARAH ATIKAH BT AHMAD FAUZI.

1 comment: