Tuesday, August 31, 2010

AJARAN SESAT


PENGENALAN

Fenomena ajaran sesat dalam kalangan masyarakat Islam di Malaysia bukanlah sesuatu perkara baru, namun kadang-kadang ajaran sesat itu bercampur aduk antara perkara benar dan perkara yang salah. Ajaran sesat merupakan ajaran yang bertentangan daripada agama Islam yang berdasarkan al-Quran dan as-Sunnah serta bertentangan dengan Ahli Sunnah Wal-Jamaah. Ajaran ini bukan sahaja dibawa oleh orang-orang Islam bahkan orang-orang bukan Islam turut terlibat. Walaupun Malaysia semakin maju dengan kecanggihan teknologi, namun begitu ajaran sesat juga semakin menjadi-jadi pada ketika ini. Antara contoh ajaran sesat ialah al-Arqam, Ayah Pin dan sebagainya.

Ciri-ciri Ajaran Sesat :
• Golongan itu memansuhkan syariat Islam dan mengadakan syariat baru.
• Dapat meramalkan bila berlakunya kiamat.
• Menerima risalah Islam terus dari Rasulullah.
• Zikir dalam gelap bercampur gaul lelaki dan perempuan.
• Meninggalkan sembahyang Jumaat kerana mengamalkan suluk.
• Penyerahan rohani dan jasmani kepada guru melalui nikah batin.
• Menghalalkan nikah adik-beradik.
• Semua manusia boleh melihat Allah di dunia ini.

FAKTOR

Antara faktor yang mempengaruhi ajaran sesat adalah usaha menjauhkan umat Islam dari al-Quran dan as-Sunnah. Terdapat sebahagian pihak-pihak tertentu yang berusaha untuk menyeleweng umat Islam agar tidak mengamalkan ajaran al-Quran dan as-Sunnah atau salah satu darinya. Mereka juga terdiri daripada golongan munafik dan zindik serta merancang pelbagai usaha. Antaranya adalah penafsiran batin oleh golongan kebatinan dan menyatakan bahawa al-Quran ada makna zahir dan makna batin serta mendakwa yang wajib diamalkan ialah batin sahaja. Selain itu, mereka menafsir palsu ke atas surah al-Muddathir ayat 30 dan 31 oleh Rashad Khalifa dan mereka menetap tarikh berlaku kiamat.

Faktor seterusnya ialah tersebarnya secara meluas buku yang berunsurkan ajaran sesat di pasaran. Perkara ini berlaku disebabkan ramai kalangan individu yang cuba menonjolkan diri sebagai orang yang arif dalam ilmu-ilmu perubatan dan agama semata-mata. Tujuan mereka berbuat demikian adalah untuk kepentingan diri dan kepentingan-kepentingan lain dengan berbagai gelaran.

LANGKAH

Dalam usaha mengatasi masalah ini pihak berkuasa agama Islam negeri-negeri dan JAKIM telah bekerjasama erat melalui pelbagai program. Hal ini kerana, bagi mengembalikan mereka kepada akidah yang sebenar. Antara usaha-usaha yang dilakukan adalah menyediakan pengajaran dan pendidikan Islam secara formal dan tidak formal dengan berterusan di semua institusi pendidikan. Sebagai contoh, setiap sekolah dan universiti mestilah menjadikan subjek pendidikan Islam sebagai subjek teras. Oleh itu, pelajar-pelajar akan lebih terdedah tentang kepentingan ilmu pendidikan Islam bagi setiap umat Islam.

Usaha lain ialah kerajaan mestilah membahaskan masalah ini dalam pembentukan kementerian agama dalam kerajaan Persekutuan. Dengan itu, semua perundangan dalam hal agama dapat dipusatkan dan diseragamkan sehingga ajaran sesat ini semakin pudar di mata masyarakat Islam. Apabila telah berbahas, maka perkara tersebut dibincangkan di Dewan Negara. Seterusnya diwartakan kerajaan dan akhirnya sebuah undang-undang dapat dibentuk di setiap negeri.

KESIMPULAN

Kesimpulannya, semua pihak perlu bekerjasama untuk menerangkan ajaran sesat ini. Jika tidak, ajaran ini boleh dianggap menggugat keselamatan Negara. Dalam hal ini, agama Islam berada dalam fitnah kerana ramai muslimin ikut terjebak di dalam amalan dan fahaman yang mengelirukan itu.

Disediakan oleh : Ain Nurnadia bt A.Rahman

No comments:

Post a Comment